Thursday, June 21, 2018

Cara-cara ibu bapa menghabiskan masa dengan keluarga

Masa bersama keluarga menjadi perkara penting dalam proses mendidik ahli keluarga pada zaman moden ini. Banyak ibu bapa masih tidak tahu cara untuk menghabiskan masa dengan keluarga mereka.
Jelaskan cara-cara menghabiskan masa dengan keluarga.

Meluangkan masa bersama keluarga merujuk sikap mengutamakan kebahagiaan anggota keluarga seseorang itu. Amalan ini amat penting kerana keluarga menjadi asas buat seseorang untuk memperoleh kejayaan dalam kehidupan mereka. Pihak media massa terutamanya televisyen sering menyiarkan drama yang berasaskan hubungan kekeluargaan yang penting buat seseorang individu itu. Sebenarnya, ada pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk memastikan seseorang itu menghabiskan masa dengan keluarga tersayang mereka.

Langkah yang bijak dalam menghabiskan masa dengan keluarga ialah sesebuah keluarga itu menetapkan masa untuk makan bersama-sama setiap hari. Masa yang dipilih hendaklah dipersetujui oleh semua anggota keluarga kerana zaman moden ini aspek kekangan masa dan kesibukan masing-masing begitu ketara. Ketika makan bersama-sama ini pastinya semua anggota keluarga boleh berbual mesra sehingga persefahaman yang jitu terjalin antara mereka. Ringkasya, amalan menetapkan masa makan bersama-sama ini mampu mempererat hubungan mereka.

Selain itu, keluarga yang bijak akan merancang aktiviti keluarga pada hujung minggu dalam usaha mereka menghabiskan masa bersama-sama. Aktiviti hujung minggu ini boleh dalam bentuk makan di luar, menonton wayang, beriadah dan sebagainya yang mengambil tempoh tertentu pula itu. Kos yang tinggi berlaku untuk aktiviti sebegini tetapi berbaloi kerana memori yang terhasil bersama-sama keluarga itu akan tersimpan di dalam hati anggota keluarga selama-lamanya. Jelaslah, amalan aktiviti hujung minggu ini akan mempengaruhi persefahaman dan kasih sayang sesama  anggota keluarga.

Tambahan pula, amalan meraikan sambutan hari lahir anggota keluarga turut menjadi satu kaedah yang efektif dalam usaha menghabiskan masa dengan keluarga. Sambutan hari jadi ini boleh dirancang secara besar-besaran atau kecil-kecilan namun majlis ini mampu memberikan makna yang besar kepada setiap ahli keluarga itu. Usaha meraikan hari lahir ini menjadikan anggota keluarga berasa diri mereka dihargai dan disayangi oleh setiap ahli keluarga tersebut. Jadi, amalan menyambut hari jadi boleh melambangkan penyatuan sesebuah keluarga di dunia ini.

Cara menghabiskan masa bersama keluarga boleh melibatkan usaha belajar atau mengulang kaji pelajaran bersama-sama ahli keluarga. Ibu bapa yang prihatin boleh membantu anak mereka yang lemah dalam sesuatu subjek dengan bersama-sama membuat latihan subjek tersebut. Amalan positif ini bukan sahaja merapatkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak tetapi turut membolehkan ibu bapa mengetahui tahap kemampuan pelajaran anak mereka itu. Lama-kelamaan, amalan belajar bersama-sama anak ini turut berupaya menghilangkan rasa bosan anak-anak ketika belajar.

Kaedah terakhir yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menghabiskan masa dengan anak-anak ialah mereka merancang percutian keluarga. Semua ahli keluarga boleh memberikan idea tentang destinasi dan masa percutian yang sesuai untuk semua anggota keluarga itu berdasarkan bajet yang dipersetujui semua. Hubungan sesama anggota keluarga menjadi lebih erat apabila percutian ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yag melibatkan semua anggota keluarga itu. Sesungguhnya, amalan bercuti bersama-sama keluarga menjadi titik tolak hubungan yang baik buat sesebuah keluarga itu.


Kesimpulannya, amalan menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarga tidak ternilai harganya pada zaman modenisasi ini. Sikap mengutamakan masa dengan keluarga berupaya mewujudkan satu suasana harmonis sehingga merapatkan hubungan setiap ahli keluarga di negara ini. Namun, ada sesetengah ibu bapa yang bersikap acuh tak acuh terhadap perkara ini sehingga membawa kerugian pada keluarga dan negara pada masa akan datang. Peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih membuktikan bahawa amalan saling bermaafan boleh membantu mewujudkan keluarga yang bahagia di Malaysia.

No comments:

Post a Comment