Sunday, July 22, 2018

Cara-cara atasi krisis makanan global?

Krisis kekurangan makanan banyak kali berlaku di dunia ini. Kejadian ini menjadikan banyak nyawa terkorban.
Jelaskan kaedah-kaedah yang boleh dilakukan oleh negara serantau untuk mengatasi isu ini.

Oleh: noor azman mahat

Kekurangan makanan merujuk ketiadaan bekalan makanan yang mencukupi untuk sesebuah kawasan yang didiami oleh penduduk itu. Kebiasaannya, krisis kekurangan makanan muncul apabila sesebuah negara itu mengalami bencana alam seperti banjir besar dan mengalami peperangan yang panjang serta kawasan tanaman mereka diserang oleh wabak penyakit tertentu. Pihak media massa terutamanya akhbar sering membuat liputan krisis sebegini sehingga menyebabkan masyarakat Malaysia mengetahui perkara ini sedang melanda beberapa negara di Afrika, negara Arab dan juga kawasan Amerika Tengah. Lantaran itu, negara serantau memikul tugas berat untuk menghulurkan bantuan kepada negara yang sedang dilanda krisis kekurangan makanan itu.

Langkah praktikal yang boleh dilakukan oleh negara serantau dalam mengekang penularan krisis kekurangan makanan ini ialah negara itu menghantar bekalan makanan yang berlebihan di negara mereka ke negara yang memerlukannya. Penghantaran bekalan ini boleh dipercepatkan apabila penggunaan pengangkutan awam seperti lori dan pengangkutan udara seperti kapal terbang serta jenis pengangkutan lain terutamanya kereta api digunakan untuk menjamin bekalan itu sampai ke destinasi segera. Apabila bekalan makanan yang berlebihan dari negara jiran dihantar itu sudah pasti negara yang dilanda krisis akan memperoleh sumber makanan yang cukup dalam tempoh yang singkat lalu kemelut kebuluran akan terhalang daripada berlaku. Jadi, tindakan menghantar bekalan makanan yang berlebihan dari negara serantau boleh menghalang krisis kekurangan makanan berlaku di dunia ini.

Selain itu, bantuan dalam bentuk perkongsian teknologi boleh diamalkan oleh negara serantau dalam usaha mereka menghalang berlakunya krisis makanan serantau. Perkongsian teknologi ini meliputi usaha sama atau bekerjasama dalam menyediakan peralatan pertanian seperti peralatan menuai, memproses, menanam dan sebagainya yang amat diperlukan oleh negara jiran yang dilanda krisis makanan itu. Apabila negara yang bermasalah dalam pertanian itu menerima peralatan teknologi yang canggih ini sudah pasti semua kerja pertanian menjadi lebih cepat, mudah, dan efektif sehingga menyebabkan produktiviti pertanian mereka meningkat secara mendadak itu. Jelaslah, sikap sanggup berkongsi teknologi dalam pertanian akan menjadikan krisis kekurangan makanan di dunia ini satu peristiwa lampau atau tidak lagi berlaku pula.

Tambahan pula, negara yang kekurangan sumber makanan boleh dibantu oleh negara jiran mereka dengan pemberian bantuan kepakaran yang banyak itu. Pakar-pakar yang dihantar ini boleh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada petani negara yang dilanda masalah itu cara-cara bertani yang betul menerusi beberapa siri kursus, taklimat bengkel serta seminar yang berinformasi tersebut. Petani di negara yang bermasalah itu akan mempunyai banyak informasi yang berguna lalu mereka memahami teknik pertanian yang betul sehingga mampu menjadikan hasil pertanian mereka bertambah berlipat kali ganda dalam masa yang terdekat itu. Sesungguhnya, sikap keterbukaan negara serantau yang sanggup menghantar pakar-pakar mereka membantu negara yang dilanda krisis makanan ini harus menjadi pengajaran yang berguna kepada semua pihak dalam membendung masalah kekurangan makanan dunia.

Kajian juga telah mengesahkan bahawa krisis makanan global boleh ditangani apabila petani diberi bantuan pinjaman kewangan oleh negara serantau itu. Pinjaman itu diberikan dengan terma dan syarat pinjaman yang lebih mudah dan telus serta kadar faedah yang tidak keterlaluan dikenakan pula kepada petani-petani yang menerima pinjaman tersebut. Wang pinjaman ini boleh digunakan oleh petani di negara terbabit untuk membeli tanah yang lebih luas bersama-sama benih pertanian yang berkualiti serta peralatan pertanian yang akan mengubah masa depan mereka sebagai petani di negara tersebut. Akibatnya, petani di negara yang dilanda masalah itu akan berupaya mengerjakan ladang mereka dengan lebih baik dan produktif sehingga mampu menghasilkan makanan yang mencukupi buat penduduk negara mereka pada masa hadapan itu.

Kekurangan makanan boleh diatasi apabila bantuan dalam bentuk khidmat nasihat diberikan oleh negara serantau kepada negara yang dilanda masalah makanan itu. Bantuan khidmat nasihat ini boleh diberikan dalam bentuk motivasi, galakan dan suntikan semangat yang diperlukan oleh petani untuk menjadikan tanaman mereka lebih baik hasil tuaiannya pada tahun akan datang. Pemberian semangat dan motivasi ini boleh mencetuskan idea yang bernas lagi kreatif tentang sesuatu pelan pertanian yang boleh menjadikan negara itu bebas daripada masalah kebuluran makanan pula. Sesungguhnya, kaedah khidmat nasihat ini boleh menjadikan minda dan fizikal petani lebih bersedia untuk memikul tugas menyediakan makanan yang mencukupi buat rakyat dengan penuh rasa bangga itu.


Kesimpulannya, masalah kekurangan sumber makanan telah menjadi isu yang membelenggu kehidupan masyarakat dunia kini. Sememangnya, kerjasama daripada masyarakat dunia amat diharapkan supaya kemelut ini boleh dihapuskan dengan sepenuhnya. Namun, ada sesetengah pihak yang menaguk di air keruh tentang isu ini lalu masalah ini akan berterusan berlaku kecuali satu tindakan drastik dilakukan oleh masyarakat dunia. Peribahasa nasi sudah menjadi bubur membuktikan bahawa masalah kekurangan makanan jika dibiarkan berlaku pasti akan membawa banyak nyawa yang tidak bersalah terkorban begitu sahaja terutamanya kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment